KakiBLOGGER
KakiBLOGGER
KakiBLOGGER
KakiBLOGGER
KakiBLOGGER

Kisah Harijadi Paling Sepi



Lewat tirai kamar, aku lontar pandangan di kejauhan. Sinar jingga kian menghilang di kaki langit. Awan membiru kian malap. Kelihatan sekumpulan burung terbang bebas membelah langit mencari jalan pulang. Pepohon di seberang jalan melambai sayup dituip bayu petang. Aku hirup batang nikotin di tangan dalam-dalam kemudian hembus perlahan-lahan. Mengeluh. Kalau lah semua masalah akan selesai serentak hembusan nafas, mungkin aku manusia paling bahagia saat ini.

Sudah seminggu dia membisu. Aku sendiri taktau apa salahku. Sudah lah kepalaku serabut dengan lambakan kerja dari bos perempuan yang asyik PMS, dia pula seperti sengaja menambah derita, mendera hati menjeruk rasa. Sungguh aku kurang arif dalam menafsir diam si dia. Apa memang perempuan makhluk kompleks ya?

Seingat aku, paling lama dia sepi, dua hari. Itu pun sebab aku tak reply mesej nya tiap pagi. Sekali aku lupa, dia perli manja. Dua kali, tiga kali, dia naik gila. Jenuh juga aku nak memujuknya.

Pernah satu ketika dia mahu makan aiskrim kon yang selalu dijual oleh apek jual aiskrim. Waktu itu kami di taman, sama-sama berjoging. Jadi, aku belikan sebatang untuknya. Dia gelak kecil sambil ucap terima kasih dan kemudian, dia terus-terusan senyum. Comel. Entah macam mana, aiskrimnya jatuh. Hilang terus senyum di wajah nya. Entah sedih entah gundah. Aku sendiri tidak bijak meneka.

" Dah, jangan sedih. Nak saya belikan yang baru tak ? ", Aku cuba ceriakan suasana sambil tepuk lembut belakangnya. Dia cuma geleng. Dan sampai ke rumah, dia diam membisu.

" Awak kenapa? Sedih pasal aiskrim tu lagi ke? ", Aku bertanya lembut. Dia cuma angguk perlahan. "Abeh tadi, saya nak belikan yang baru, taknak pulak. Dah , jangan nak sedih-sedih sangat."

Dia tunduk sambil membalas perlahan. " Dah tu, kenapa takbeli? Cakap je lebih." Aku tergelak. " Laah, tadi awak yang jual mahal. Ngada-ngada cam budak. " Kataku sambil sambung gelak tanpa henti. Aku gelihati lihat riak wajahnya kala itu. Macam cencorot. Lepas tu, satu malam dia diam membisu. Aku senyum kecil . Walau hingga ke saat ini, aku masih rasa lucu tiap kali mengingat peristiwa itu. 

Puas melihat langit, aku duduk di birai katil. Mengitar pandang ke dinding bilik pula. Sambil fikiran menerawang mencari punca kebisuan si dia. Tapi malangnya, buntu. Sungguh aku sendiri tidak tahu apa sebabnya. Dia diam tiba-tiba.

Aku capai henfon. Cuba mendail nombor si dia. Hampa. Cuma bunyi tutt tutt menyapa telinga. Cuba lagi. Tetap sama. Aku mengeluh lagi. Aku ketik-ketik henfon mencari track Deeper Coversation yang dia bluetooth tempoh hari. Aku mainkan berkali-kali sambil cuba menyelami tiap bait lirik lagu itu.

" Macam mana nak bincang kalau dia senyap? Aduhai~!! ", Aku membebel sendiri sambil garu kepala yang tak gatal. Serabut kepala aku, serabut. Aku capai kotak merah kecil di atas meja. Sebatang nikotin aku keluarkan segera. Sedut sedut sedut dan hembus.

Gitar di atas tilam aku ambil. Perlahan aku petik not lagu Time Of Your Life sambil menyanyi kecil mengikut irama yang aku mainkan. Bilik kecil berbau masam sigup aku pandang kosong. Seketika pandangan tertancap pada kalender di dinding. " Eh, harini 14hari bulan? Birthday aku. Hai, apalah malang nasib. Birthday sendiri pun lupa. " Aku bermonolog sepi.

Bangun menuju meja lalu mencapai pen dan kertas. Aku lukis sebiji kek dengan 23 batang lilin di atasnya. Di bawahnya aku tulis "Harijadi Paling Sepi". Senyum. Kemudian aku tampalkan di dinding di tepi katil. Kembali memetik gitar . Kali ini, aku mainkan lagu Happy Birthday. Meraikan sendiri-sendiri. Budak rumah yang lain entah pergi ke mana. Sepi sepi sendiri aku sunyi. Dan akhirnya aku terlelap sendiri.

DUMM~!! Aku terjaga dek bunyi bising sebentar tadi. Entah bunyi apa, aku pun tak pasti. Gelap-gelita. Mesti semua orang tak balik lagi. Malas-malas aku bangun. Baru dua langkah aku keluar dari bilik, tiba-tiba satu rumah terang benderang. Serentak aku dikejutkan dengan jeritan ramai. " SUPRISE~!! "

Dalam kemamaian, aku bertanya. " Apa ni woi, apa ni ? " Kemudian bertalu-talu aku terima ucapan selamat hari jadi. Dan dalam kebingungan memproses keadaan, mataku menangkap susuk tubuh si dia bersama kek di tangan. Tersenyum comel kepada ku. Seolah menyampai maksud sepinya selama seminggu.











nota-geli-geli-gedik : Sayang, selamat ulangtahun kelahiran buat kamu. I ♥ U